Thursday 18 August 2011

Anwar Ibrahim dan Revolusi Bunga Raya


Beberapa portal berita dalam negara dan antarabangsa dilaporkan memetik kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari The Guardian dan The Malaysian Insider bahawa dia tidak menolak kemungkinan akan meletusnya revolusi di Malaysia sepertimana yang berlaku di negara-negara Timur Tengah.

Kenyataan Anwar ini merupakan rentetan dari perhimpunan haram BERSIH 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Sehari selepas perhimpunan haram itu, Anwar menyatakan pendiriannya bahawa dia bersedia untuk menggerakkan revolusi tersebut di Malaysia semasa bercakap dalam sesi dialog bersama profesional muda di Petaling Jaya. 


Ketika ini Malaysia didakwa sedang berada di ambang ‘Revolusi Bunga Raya’, suatu penamaan yang merujuk kepada bunga kebangsaan negara.

Sebelum itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin pernah mengancam mahu mengulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ‘menerusi jalanan’ jika tuntutan BERSIH 2.0 tidak dipenuhi.

Kita tertanya-tanya mengenai bentuk ‘Revolusi Bunga Raya’ yang dimaksudkan oleh Anwar. 

Apakah maksud sebenar perkataan ‘revolusi’ itu?  Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, ‘revolusi’ mempunyai dua maksud, pertama ialah “perubahan sesebuah kerajaan, sistem politik atau sistem sosial yang dilakukan secara radikal dan kekerasan seperti rusuhan dan pemberontakan bersenjata dan kedua ia bermaksud “perubahan yang menyeluruh dan mendadak, terutamanya dari segi cara berfikir, bertindak dan sebagainya”.

Bila mana kita membicarakan takrif revolusi dalam konteks politik negara pastinya ia merujuk kepada pengertian pertama yang dinyatakan dalam Kamus Dewan tersebut iaitu berkenaan perubahan politik negara yang dilaksanakan secara radikal (menyeluruh) dan kekerasan sama ada melalui rusuhan atau pemberontakan bersenjata.

Adakah ‘Revolusi Bunga Raya’ yang dikehendaki oleh Anwar merupakan usaha perubahan politik secara radikal dengan menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui kekerasan sama ada dengan rusuhan atau pemberontakan bersenjata? Soalan ini perlu dijawab oleh Anwar!

Apakah pula bentuk kerajaan baru yang mahu dibentuk selepas ‘Revolusi Bunga Raya’ ini? Adakah Anwar dan konco-konconya mahu mencontohi Revolusi Perancis yang berlaku pada tahun 1789–1799, di mana sistem pemerintahan beraja dan peranan agama dihapuskan serta diganti dengan sistem pemerintahan rakyat menjadi sebuah negara republik rakyat Perancis yang berteraskan cogan kata “Persamaan, Kebebasan, dan Persaudaraan”?

Seandainya Anwar benar-benar mahu melakukan revolusi seperti ini di Malaysia, bermakna benarlah dakwaan Ummi Hafilda sebelum ini terhadap Ketua Umum PKR itu.

Ummi Hafilda Ali dalam satu majlis ceramah di Bandar Jerteh, Terengganu, Mac lalu, mendakwa bahawa Anwar bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah republik sekaligus mengangkat dirinya sebagai Presiden, manakala Azmin Ali pula akan dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Adik bongsu kepada Timbalan Presiden PKR itu, mendedahkan bahawa dia mendengar sendiri cita-cita rakus Anwar itu melalui abangnya, Azmin Ali yang memberitahu kepada bapa mereka, Allahyarham Ali Omar, suatu ketika dulu.

Dakwa Ummi Hafilda lagi, Anwar juga dikatakan mempunyai niat untuk menghapuskan institusi diraja sekiranya dia berkuasa nanti. 

Perubahan pemerintahan politik negara melalui cara revolusi agak mustahil untuk tidak berlaku pertumpahan darah, terutama dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, etnik dan agama seperti di Malaysia. Apatah lagi, pemerintah ketika ini masih didukung oleh majoriti rakyat negara ini. Pertembungan antara penentang dan penyokong yang besar jumlahnya pasti meningkatkan risiko pertelagahan berdarah yang besar.

Sesungguhnya rancangan untuk melakukan revolusi sesuatu yang sangat berbahaya kerana ia boleh menganggu gugat kestabilan politik dan mengancam masa depan sosial dan ekonomi negara.

Perjuangan revolusi dalam sejarah dunia sering dinisbahkan kepada kaedah kekerasan termasuklah dengan cara rusuhan dan mengangkat senjata adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Islam melarang umatnya berusaha menjatuhkan pemerintah Muslim dengan cara kekerasan sekalipun mereka zalim atau fasik sepertimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam banyak hadis-hadis shahih.

Perbuatan mengangkat senjata dan merusuh boleh dianggap sebagai bughah. Bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya dengan kesalahan jenayah lain malah ia lebih bahaya kerana ia akan mengheret masyarakat kepada kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang lain yang tidak bersalah.

Apabila revolusi dilakukan, ia pasti akan mengganggu urusan harian masyarakat negara ini seperti perniagaan, sektor pekerjaan, pembelajaran, usaha dakwah, pemuliharaan alam sekitar dan lain-lain.

Lebih teruk lagi ia akan melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda mereka yang tidak bersalah akibat dari pergolakan yang berlaku.

Imej dan ekonomi negara juga akan terjejas teruk. Ia memerlukan masa yang lama untuk pulih kembali dan mendapat keyakinan pelabur serta komuniti perniagaan. Kita mungkin terpaksa mengambil masa bertahun-tahun atau lebih sedekad untuk mengembalikan semula keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini.

Kerajaan yang naik melalui cara revolusi belum tentu akan lebih baik dari kerajaan sedia ada, dan mereka juga tidak terkecuali dari dijatuhkan dengan cara yang sama di masa depan. Jatuh-menjatuh secara revolusi tidak mustahil akan menjadi budaya rakyat dan hasilnya kita tidak boleh hidup tenteram dengan ancaman-ancaman sedemikian.

Sekali lagi kita ingin ulangi persoalan mengenai apakah bentuk kerajaan yang mahu diwujudkan oleh Anwar melalui ‘Revolusi Bunga Raya’ itu? 

Kita melihat perubahan kuasa buat masa ini akan memperkukuhkan kedudukan puak yang berfahaman sekular barat, Islam Liberal dan Pluralisme Agama. Ini dapat dibuktikan melalui fakta bahawa pakatan pembangkang kita ini didominasi oleh bukan Islam dan Islam Liberal dari DAP dan PKR, bahkan sebilangan pemimpin tertinggi Pas yang diharapkan mewakili suara Islam turut dikuasai oleh mereka yang condong atau berfahaman Syiah dan Islam Liberal. 

Bayangkan jika kumpulan ini berkuasa! Hak asasi manusia dan kebebasan yang mereka dambakan selama ini pasti akan dipraktikkan oleh mereka. Gejala murtad dan homoseksual di kalangan umat Islam mungkin akan diiktiraf sebagai hak individu yang tidak boleh dihalang oleh pemerintah. Fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah seperti Syiah, Islam Liberal dan Pluralisme Agama akan dibenarkan tanpa sekatan dan akhirnya ia akan memecah-belahkan lagi umat Islam di negara ini!

Dengan terbentuknya sistem demokrasi liberal ala barat pasca revolusi tersebut yang meminggirkan agama dan bangsa (lebih mengutamakan hak asasi dan individu acuan Barat) ia pasti akan mengucar-kacirkan lagi matlamat perjuangan dan perpaduan umat Melayu dan Islam. Natijah daripada revolusi ini, kedudukan Raja-Raja Melayu (Ketuanan Melayu-Islam), agama Islam sebagai agama rasmi (mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah), hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta Bahasa Melayu akan tergugat.

Kepada orang Melayu dan Islam yang mungkin terfikir untuk bersama dalam cita-cita revolusi Anwar, diharapkan fikirlah semasak-masaknya sebelum “nasi menjadi bubur”. Jangan pula kita menjadi seperti yang disebutkan oleh pepatah lama, “menang sorak, kampung tergadai” dan “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”!    

No comments:

Post a Comment